Catatan Kehidupan Insan

Thursday, April 13, 2006

Sekadar bacaan untuk tatapan tentang isu bidaah

FORUM ISU SEMASA

Bid’ah dan Khilafiah: Satu Penjelasan

Anjung Rahmat, 21 Januari 2006

Ahli Panel

1. Dato’ Haji Md Hashim Haji Yahya

2. Dr Muhammad ‘Uthman el- Muhammady

Pengenalan

Isu bid’ah dolalah mula menular di dalam masyarakat Islam. Bertambah banyak kekeliruan yang timbul di kalangan masyarakat ini. Sebagai ahli gerakan Islam, kita mestilah memahami isu ini sebagai persiapan menghadapi umat. Ianya merupakan isu yang penting untuk kita menghadamnya.

A. Dato’ Haji Md Hashim Hj Yahya

1. Akhir-akhir ini masyarakat Islam di Malaysia digemparkan dengan satu gerakan yang menganggap majoriti umat Islam di Malaysia melakukan banyak bid’ah dalam kehidupan seharian, sebagai sesuatu yang tidak berlaku ketika zaman Rasulullah s.a.w.

2. Ia boleh memecahbelahkan masyarakat kerana pendekatan yang kumpulan ini bawa kadangkala agak ekstrim.

3. Dalam ajaran Islam, banyak ayat-ayat Al-Quran dan hadith yang bersifat umum yang memerlukan tafsiran lanjut. Ia memerlukan pemahaman Bahsa Arab yang tinggi untuk menafsirkannya dengan baik.

4. Oleh itu, timbul masalah khilafiah dalam hal ini. Perlu ada adab dalam menangani masalah khilafiah ini.

5. Ulama-ualam yang bertaraf mujtahid boleh berijtihad dalam penafsiran ayat-ayat Al-Quran dan hadith tersebut, berasaskan ilmu dan cara-cara akademik.

6. Islam mengikhtiraf pendekatan khilafiah dan ijtihadiah ini.

7. Jangan kita bimbang dengan pendekatan yang berbeza ini. Sekiranya kita benar-benar faham dan tidak jahil, tak sepatutnya umat keliru dengan perbezaan pendapat yang berlaku dalam urusan feqah.

8. Perbezaan pendapat ini merupakan suatu rahmat. Ada masanya pendekatan kita dalam soal feqah berubah mengikut tempat dan suasana.

9. Sayid Hawa pernah menyebut dalam tajuk ‘Bid’ah dan Perbahasannya’ bahawa “selama mana seorang Muslim yang berpegang kepada mana-mana fatwa oleh ulama yang mujtahid, orang ini mengikut ajaran Islam dengan baik. Kita tidak boleh menghukum mana-mana amalan itu sebagai bid’ah kecuali semua ulama menghukumkan bahawa sesuatu amalan yang dipertikaikan itu merupakan bid’ah.”

10. Asas kita tidak mesti apa yang tidak dilakukan oleh Rasulullah s.a.w. itu haram sekiranya kita lakukan. Contohnya, Siti Maimunah menghidangkan daging dhab kepada Rasulullah dan Khalid. Rasulullah s.a.w. tak jadi memakannya setelah tahu ianya daging dhab, dengan alasan tidak selera dengan daging dhab, tetapi baginda tidak menghalang Khalid memakannya.

11. Kita kena faham bahawa sepanjang Nabi menjadi Rasulullah s.a.w. selama 23 tahun, risalah Islam akan terus berkembang. Ada perkara yang tak terjadi di zaman Rasulullah, tetapi terjadi pada zaman-zaman mendatang. Sebab itu, ulama yang muktabar perlu berijtihad bila diperlukan apabila timbulnya sesuatu isu baru di kalangan masyarakat.

12. “Buatlah sesuatu perkara yang baik, maka Allah akan memberikan rahmatNya”.

13. Sebagai contoh, berdoa secara berjamaah selepas solat fardhu. Rasulullah s.a.w. tidak membuatnya secara berjamaah kerana khuatir umat Islam akan menganggapnya sebagai satu kewajipan kepada umat. Apa yang dibuat oleh ulama-ulama di rantau ini merupakan pendekatan mendidik umat untuk memudahkan sesuatu amalan itu dibuat dnegan tertib.

14. Contoh lain, Rasulullah s.a.w. selepas rukuk, wiridnya ringkas sahaja. Tetapi pernah seorang makmum membaca wirid yang lebih panjang daripada amalan yang biasa dibuat oleh Rasulullah s.a.w. Selepas solat, Rasulullah s.a.w. maklumkan bahawa baginda nampak sebanyak 33 malaikat berebut-rebut turun mencatat wirid yang dibacakan oleh sahabat tersebut.

15. Khalid al-Walid pernah terlewat datang solat yang diimamkan oleh Rasulullah s.a.w. Beliau masbuk, terus mengikut Rasulullah s.a.w. dan menghabiskan jumlah rakaat yang beliau tidak sempat bersama Rasulullah s.a.w. Hal ini tidak pernah diajar oleh Rasulullah s.a.w., tetapi Rasulullah s.a.w. memuji tindakan yang dibuat oleh Khalid tersebut.

B. Dr Muhammad ‘Uthman el-Muhammady

1. Isu bid’ah ini heboh diperkatakan sejak tahun 1950-an lagi.

2. Kadangkala sehinggakan alim ulama ini bergaduh sehinggakan orang awam menjadi keliru, seolah-olah seperti sabung ayam, dua jaguh bersabung, orang awam menjadi

3. Buku ‘Makna Sebenar Bid’ah: Satu Penjelasan Rapi’ tulisan Al-Sheikh Al-Hafiz Abu Al-Fadl dan Abdullah Al-Siddiq Al-Ghumari merupakan satu rujukan yang baik.

4. Terdapat lebih daripada 50 kesilapan yang dipertikaikan dalam penulisan Albanee yang banyak menghukum umat sebagai melakukan pelbagai perbuatan bid’ah. Pendekatan yang dibawa agak keras. Namun, kesungguhan beliau dalam menghasilkan buku itu perlu disanjung.

5. Kita mestilah mengambil iktibar daripada Al-Quran dan hadith. Tetapi, sangat mustahil untuk menemukan secara tepat apa yang dilakukan sekarang dengan apa yang berlaku di zaman Rasulullah s.a.w. Sehubungan itu, ia mewajarkan kita mengambil pendekatan qias.

6. Pada asasnya, selagimana sesuatu yang baru itu tidak bercanggah dengan Al-Quran, as-sunnah dan ijmak, maka sesuatu yang baik sifatnya itu harus dilakukan.

7. Penulisan Asad Al-Banjari merupakan sesuatu yang baik dijadikan rujukan. Beliau berpendapat bahawa sesuatu yang dilakukan dimana tidak dilakukan oleh Rasulullah s.a.w., yang membawa kepada kekufuran, maka ianya haram dilakukan.

8. Ada bid’ah yang kafir, haram, makruh dan harus. Contoh harus ialah hidup dalam keadaan selesa sedikit di dalam kemampuan yang ada merupakan bid’ah yang harus.

9. Mesti ikut kaedah ilmu yang betul mengikut ahli sunnah wal-jamaah dalam menentukan sesuatu hukum feqah.

10. Perkara yang kecil janganlah diperbesar-besarkan yang boleh membawa mudarat yang lebih besar

11. Dari segi sejarah, ada kelompok yang sering melabelkan orang Islam melakukan bid’ah menuduh Kerajaan Uthmaniah Turki sebagai kafir. Apabila mereka nak berunding, mereka minta kerajaan Uthmaniah itu masuk Islam dulu. Sebab itu mereka berlawan.

12. Pendekatan kita mestilah mengikut wacana intelektual yang muktabar, yang punya disiplin ilmu yang tinggi dengan kaedah-kaedah perbahasan yang tertentu.

13. Reliance of the Traveller merupakan sebuah buku yang sangat bagus ditulis oleh ………... Penulis merupakan intelektual Barat yang akhirnya masuk Islam.

14. Kalau kita tak bersetuju dengan sesuatu pendekatan, jangan mudah menuduh seseorang itu bid’ah secara melulu.

15. Bacaan Yaasin pada malam Jumaat dan tahlil beramai-ramai merupakan suatu amalan yang baik yang tidak dianggap sebagai bid’ah yang terpesong dari ajaran Islam.

16. Sesuatu hukum itu berubah mengikut masa dan keadaan. Sebagai contoh, zakat fitrah kini tidak dibayar dengan beras, tetapi digantikan dengan wang.

17. Maka kita kena ‘suluh’ apakah yang sebenar-benarnya berlaku dalam masyarakat kita sebelum membuat sesuatu hukum dan penjelasan.

C. Soal-jawab

1. Isu bid’ah dibahagikan oleh ulama dengan beberapa kategori, Rasulullah s.a.w. tak pernah bahagi-bahagikan bid’ah itu dengan beberapa kategori.

a) Selalulah rujuk kepada ulama yang muktabar dan jangan mudah menuduh seseorang ulama itu sebagai terpesong.

b) Dalam pengajian Bahasa Arab, ada disiplin-disiplin ilmu yang tertentu yang mesti diikuti.

c) Mestilah mengaji dengan setinggi mungkin sebelum menjatuhkan sesuatu hukum.

d) Semua bid’ah itu sesat selagimana ia tidak ada asas dalam Islam. Sebagai contoh, pernah segolongan Muslim yang menyembelih binatang qurban secara ‘makrifat’ iaitu buat-buat sembelih kerana lembu yang disediakan untuk qurban itu mati kemalangan. Perkara ini tiada asas dalam Islam, oleh itu ianya bid’ah kerana tidak berasas.

e) Dalam mengistibakkan hukum, perlu tahu ayat dan hadith yang dirujuk itu, diketahui sebab musababnya ayat itu diturunkan dan latarbelakang hadith tersebut berlaku.

f) Ada sesuatu yang bunyinya umum, tetapi maksudnya khusus. “Ambil dari harta mereka itu zakat, mereka akan jadi bersih dengannya.” Oleh itu, bukan semua barangan dan ternakan diwajibkan kita berzakat. Ada barangan dan binatang ternakan yang tertentu sahaja dengan kadar yang tertentu.

g) Cara mengkategori hadith dilakukan oleh ulama-ulama yang tahu secara mendalam antaranya ilmu tasauf dan ilmu kalam. Sebenarnya, ada 8 specifikasi ilmu dalam mengkategorikan hadith.

2. Golongan Wahabiah kata bid’ah wujud dalam ibadah khusus sahaja seperti solat dan tidak dalam wasilah seperti penggunaan kereta, mikrofon dll.

a) Bahagian kedua di atas diterima manakala bahagian pertama perlukan huraian. Sesuatu itu mesti ada asasnya, mesti bezakan antara bid’ah dan khilafiah. Malah, bid’ah tersebut boleh dibahagikan kepada bid’ah dolaalah dan bid’ah hassanah.

b) Jangan terlalu bertelagah dalam sesuatu perbezaan pendapat kerana mudaratnya lebih besar.

3. Aliran yang mudah membid’ahkan perkara-perkara yang khilafiah, mereka begitu bersungguh-sungguh dalam forum di dalam laman sesawang. Malangnya, ulama-ulama kita tidak aktif membuat penjelasan-penjelasan terhadap isu-isu yang dibangkitkan.

a) Ada beberapa perkara yang boleh ditakwilkan penjelasannya, contohnya Allah punya tangan dan Allah bersemayam di atas Arash. Ia ditakwilkan sebagai Allah mempunyai kuasaNya dan Allah ada sistem pemerintahannya.

b) Jangan difikirkan zat Allah secara keterlaluan kerana kita tidak akan sampai ke tahap untuk menerangkan zat Allah.

4. Ada daripada golongan Salafiah mengatakan bahawa aqidah yang dianuti oleh umat Islam di nusantara ini mengamalkan pendekatan As-Shahirah.

a) Istilah yang menganggap mereka dari golongan salaf itu, takrifannya sendiri dipertikaikan.

b) Malah, ada yang berpandangan bahawa golongan yang disebut sebagai salaf itu sudah tidak wujud lagi pada zaman ini.

c) Sumbangan ulama-ulama dari rantau ini mestilah dihargai kerana ijtihad yang mereka lakukan setelah melihat realiti yang berlaku di rantau ini, sudah tentu berbeza dengan keadaan yang berlaku di tempat lain.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home